Sunday, May 3, 2009

cuTi-cuTi MaLaysiA....


Peta Sabah...




Pulau Sipadan




Mud Volcanoe di hutan liar Tabin


Gunung Kinabalu




entrance sepilok.

sempena cuti yang akan datang ni, apa kata p melawat SABAH, especially SANDAKAN...
let's check it out. what interesting places in SABAH...njoy it!

Sabah Negeri Di Bawah Bayu, merupakan salah satu negeri yang terbesar di Malaysia. Terletak di Kepulauan Borneo dan berjiran dengan Sarawak Bumi Kenyalang. Sabah merupakan salah satu negeri di dunia yang mempunyai suku kaum yang terbanyak, antaranya ialah Kadazandusun, Bugis, Suluk, Sungai, Tidong, Bajau dan sebagainya. Antara bandar besar yang terdapat di Sabah adalah Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Ibu kota bagi negeri ini adalah Kota Kinabalu. Kekayaan flora dan fauna yang terdapat di bumi bertuah ini menjadikan ia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan menarik di dunia. Pulau Sipadan merupakan salah satu syurga dasar laut terutama bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti skuba.

Selain itu, Sabah terkenal dengan Gunung Kinabalu yang merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencecah 4.095 meter daripada aras laut. Cuaca sekitar pergunungan yang sungguh menyamakan juga mendorong kepada pembangunan kawasan pertanian oleh penduduk setempat. Ranau dan Kundasang merupakan kawasan terdekat dengan pergunungan ini yang juga menawarkan pekj menarik untuk diterokai, seperti Air Panas Poring, Kundasang War Memorial dan Agro Nursery. Terdapat pelbagai flora dan fauna yang terdapat di kaki gunung kinabalu ini antaranya ialah bunga raflesia, periuk kera dan orkid. Apabila anda mendaki gunung ini, anda akan dapat melihat panorama yang berbeza pada setiap ketinggian. Hebatkan ciptaan Allah!


Bandar Kota Kinabalu merupakan ibu kota negeri ini dan ia turut menjadi tumpuan pelancong kerana menempatkan bangunan kerajaan seperti Bangunan Tun Mustapha, Pantai Tanjung Aru yang hanya kira-kira 6 km dr lapangan terbang kota kinabalu, Muzium Negeri Sabah yang turut menempatkan Kampung Budaya (Herritage Village), Karambunai Resort dan sebagainya. Anda juga boleh berkunjung ke pasar tamu yang merupakan tempat untuk membeli barang keperluan daripada bahan basah hingga kering seperti sayuran, pakaian, kelengkapan rumah dan perhiasan. Kadang-kala ia dibuka pada hari ahad dan bergantung kepada keadaan sesuatu tempat. Kota Kinabalu juga berdekatan dengan bandar lain seperti Tuaran, Penampang, Papar dan Kota Belud yang juga masih kekal dengan keindahan tempat dan budayanya.


Apabila anda ke sebelah timur Sabah, anda akan ke Sandakan, Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna selain dari bandar lain. Sandakan merupakan bandar kedua terbesar di Sabah dan dahulunya dikenali sebagai Elopura. Sandakan turut terkenal sebagai The Nature City kerana kekayaan alam semulajadi ciptaan Ilahi. Antara tempat menarik di sini ialah Tempat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pasar Sandakan, Rumah Agnes Keith, Masjid Besar Sandakan di Buli Sim-Sim dan sebagainya. Sepilok merupakan salah satu pusat pemuliharaan orang utan terbesar di dunia. Selain dengan pemandangan hutan hujan tropika yang menakjubkan, anda juga boleh melakukan aktiviti junggle tracking di dalam hutan ini. Sepilok Laut juga merupakan salah satu tempat menarik yang terdapat di dalam hutan sepilok ini. Ia merupakan salah satu resort dalah hutan paya bakau yang sangat menakjubkan. Anda hanya perlu meredah hutan belantara sepilok sepanjang lebih kurang 5.5 km untuk sampai ke sepilok laut jungle resort ini.

Selain itu, jika anda ingin menerokai gua, anda boleh berkunjung ke Gua Gomantong yang kaya dengan burung layang-layang. Anda juga boleh ke Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai terpanjang di Sabah dan anda boleh menikmati keindahan ciptaan Tuhan di Sukau. Anda juga boleh ke Pulau Penyu (Turtle Island National Park) yang dikelilingi oleh Pulau Selingan, Pulau Bakkungaan Kecil dan Pulau Gulisaan. Anda boleh menyaksikan penyu bertelur di pulau ini pada musim penyu bertelur pada waktu malam. Sandakan Memorial Park, Jabatan Perhutanan Sandakan, Sandakan Harbour Square dan pelbagai tempat menarik menanti anda di Sandakan. Pasar Tamu di Sandakan beroperasi pada hari ahad dari pagi hingga ke petang dan menjual pelbagai jenis barangan termasuk cenderahati. Daripada semenanjung, anda boleh ke Sandakan melalui kapal terbang dan jika anda berada di sabah, anda boleh ke sandakan melalui jalan raya atau laut.


Tawau dihubungkan dengan ibu negeri (Kota Kinabalu) melalui jalan raya sejauh 500 km, laluan udara Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau dan laut -pelabuhan Tawau. Hutan Rekreasi Bukit Gemok Tawau merupakan salah satu hutan rekreasi yang wajib dilawati apabila anda tiba ke Tawau. Ia menawarkan alam semulajadi yang indah dengan pelbagai hidupan liar. Ia mempunyai canopy walk sepanjang 23i meter dan anda hanya perlu membayar yuran masuk sebanyak Rm 1!. Di Tawau juga, anda boleh ke Lembah Danum Lahad Datu yang hanya terletak kira-kira 2 jam perjalanan daripada Lahad Datu. Lembah Danum diletakkan di bawah pentadbiran Yayasan Sabah. Apa yang menarik di Lembah Danum ini ialah terdapat banyak spesies burung yang boleh di lihat, terdapat juga haiwan seperti badak sumatera yang hampir pupus, dan sebagainya. Ramai penyelidik luar negara yang datang ke sini untuk membuat kajian kerana tempat ini juga dilengkapi dengan makmal berkomputer. Anda juga boleh ke Taman Hidupan Liar Tabin (Tabin Wildlife) yang juga terletak di Lahad Datu dan antara keistimewaannya ialah terdapat haiwan seperti Tembadau (Bos Javanicus), Gajah Asia dan Badak Sumatera. Anda juga boleh memilih untuk tinggal di Timber Resort yang terdapat di sini yang menjanjikan pengalaman yang menarik. Dan yang paling 'best' ialah - Lipad Mud Volcanoes. Lumpur ini boleh digunakan untuk perubatan. Anda hanya perlu menyapukannya di muka atau seluruh badan. Ataupun, jika anda seorang yang berani, anda boleh la mengikuti pakej Night Safari di resort ini. Anda juga boleh ke Perkampungan Budaya Monsopiad di Penampang Sabah. Ia merupakan muzium hidup yang terletak 16km daripada bandar kota kinabalu. Di perkampungan ini, lawatilah Tangkob atau tempat pengumpulan padi. Kotos Di Monsopiad atau Rumah Utama Monsopiad dibina khusus untuk memperingati dan keturunannya. Turut dipamerkan ialah tembikar, mesin padi, peralatan buluh dan juga busana Bobohizan Inai Bianti, iaitu keturunan terdekat Monsopiad dan seorang ketua adat yang amat dihormati.


Gua Madai yang terdapat di Tawau ini juga merupakan salah satu tinggalan sejarah kerana ia dipercayai menjadi penempatan manusia terawal di Sabah. Gua ini merupakan salah satu tempat burung membuat sarang dan anda boleh menyaksikan kelawar di dalam gua ini. Anda boleh ke sini melalui lebuh raya Lahad Datu- Tawau. Lost World atau Maliau Basin juga merupakan salah satu tempat menarik di Sabah terutamanya di daerah ini. Dikenali sebagai Lost World kerana ia masih tidak diterokai oleh manusia sepenuhnya dan kaya dengan keindahan semulajadi yang belum tercemar.

Jika anda teringin ke Sabah, anda bolehla mendapatkan maklumat lanjut di mana-mana laman web yang berkenaan ataupun bertanya sendiri dengan orang Sabah:-)



jom ke SABAH!

No comments: