Monday, February 14, 2011

Seruan Jihad-Dewan Muslimat Pas Kawasan Sandakan

Mukaddimah

1 program yang dirancang oleh beberapa lajnah yang terdapat dalam Dewan Muslimat Pas Kawasan Sandakan (DMPKS) iaitu program Seruan Jihad telah berlangsung dengan jayanya pada 12 dan 13 Februari 2011 yang lalu. Program ini telah dijalankan di PASTI KHALID AL WALID di Tinusa 2 bATU 7 Sandakan Sabah. Walaupun program ini berlangsung selama 2 hari 1 malam, namun kesan daripada program ini amat penting untuk membantu gerak kerja PAS di Kawasan Sandakan terutamanya kepada DMPKS.


12 Februari 2011

Slot 1

Pendaftaran dilakukan pada pukul 7-8 pagi namun sedikit teranjak kerana terdapat peserta yang datang lambat dan sebagainya. Namun, perjalanan program diteruskan juga dengan slot yang pertama iaitu Kuliah Dasar Pertama yang bertajuk-Sejarah Pas di Sandakan yang disampaikan oleh suami Kak Faezah iaitu En Ramlan, AJK Perhubungan PAS Negeri. En Ramlan menekankan pentingnya untuk generasi sekarang mengetahui tentang sejarah kerana ia amat penting untuk membuat pengukuran, tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan dan untuk menjadikan gerakan pada masa ini lebih baik dari sebelumnya. En Ramlan telah menyertai PAS di kawasan Sandakan ini lebih daripada 15 tahun. Setelah menghabiskan pengajian dari ipt tempatan, beliau aktif mengikuti usrah/kuliah agama yang disampaikan oleh guru-guru agama dari semenanjung yang juga merupakan ahli PAS. Beliau mengakui bahawa pada ketika itu PAS adalah sangat asing di kalangan masyarakat Sandakan. Usrah pertama yang diikuti oleh beliau telah dijalankan di PASTI Abu Bakar yang berada di batu 1 setengah Sandakan dan pada ketika itu pelajar dari SMK ELOPURA dan SMK SANDAKAN merupakan pelajar yang aktif mengikuti usrah mingguan ini.

En Ramlan juga menerangkan mengenai pentingnya penglibatan orang tempatan dalam menggerakkan PAS di kawasan ini kerana sehingga sekarang pun masih ramai lagi guru-guru dari semenanjung yang memegang tampuk kepimpinan sama ada di peringkat negeri mahupun kawasan. Penglibatan anak-anak muda lepasan dari IPT juga dituntut untuk menabur bakti sebagai penggerak di kawasan kerana pemikiran anak muda itu penting untuk menjadi penambah rasa dalam gerak kerja. Masa lalu dan sekarang sudah jauh bezanya. Kewujudan PASTI membuatkan masyarakat lebih mengenali PAS dan boleh menerima kehadirannya di tengah-tengah masyarakat. Setakat ini ada lebih kurang 10 PASTI yang ada di Sandakan dan pendaftaran murid bertambah setiap tahun. Ini merupakan salah satu petanda baik bahawa PAS semakin diterima di Sandakan. Mengakhiri sesi pada kali ini, En Ramlan menegaskan bahawa ahli PAS perlu memahami PAS dari pelbagai sudut terutamanya mengenai PERLEMBAGAAN PAS itu sendiri-kerana untuk slot kali ini, En Ramlan menggunakan buku PERLEMBAGAAN PAS sebagai rujukan. Beliau juga mengingatkan bahawa ahli perlu hadir ke setiap program yang dianjurkan kerana setiap program yang dijalankan itu amatlah penting. Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa PAS bukan mahu menjadi parti nombor satu dalam negara, kewujudan PAS adalah untuk melaksanakan Islam di bumi Malaysia ini.


Slot 2

Slot disambung pada pukul 2 petang setelah selesai menunaikan solat zohor berjemaah dan makan tengah hari. Slot ini disampaiakan oleh Ustaz Mohd Nur Iman-merupakan seorang kakitangan awam yang bertugas di Kinabantangan.Ustaz ini berasal daripada Kelantan. Tajuk yang disampaikan adalah Kewajipan Mengintima'kan diri dengan gerakan islam. Dalam slot kali ini, ustaz menggunakan buku Fathi Yakan-Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam.Antara intipati yang disampaikan adalah rukun baiah dan beberapa hadis/dalil yang menyebut tentang kewajipan mengintima'kan diri dalam jemaah Islam.Ustaz juga menerangkan mengenai tafsir surah Al Maidah ayat 3-telah tertegaknya negara Islam yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada dikalangan sahabat yang meraung kesedihan kerana ia menandakan bahawa tugas Nabi di muka bumi ini telah selesai. Yang menariknya ketika kuliah ini ialah, ustaz memberikan gambaran awal kepada kami tentang masyarakat Jahiliyyah dan bagaimana Islam datang membawa kebenaran, dalam bentuk yang mudah difahami iaitu beliau menuliskan dua bulatan berasingan di papan tulis yang ada kemudian beliau menerangkan bahawa bulatan yang pertama yakni agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W bergerak perlahan-lahan ke bulatan yang satu lagi dan akhirnya bulatan Islam itu memenuhi bulatan yang kedua dan akhirnya hanya tinggal satu bulatan sahaja yang tinggal. Simboliknya adalah, pergerakan bulatan yang berlaku itu adalah gerakan islam yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat untuk mendaulatkan Islam di bumi Mekah.Ustaz juga menerangkan tentang kepentingan memahami rukun baiah yang digariskan. (Tidak banyak nota yang sempat disalin kerana ustaz menggunakan buku Fathi Yakan dan kita sendiri boleh merujuknya sendiri).


Slot Riadah

Slot disambung selepas solat asar berjemaah. Slot riadah pada petang ini dikendalikan oleh Kak Misnah. Setelah aktiviti memanaskan badan dilakukan, kami dipecahkan kepada dua kumpulan mengikut nombor ganjil dan genap. Selepas itu kami diberikan lirik lagu yang telah dipotong-potong yang perlu disambung untuk menjadikan lirik lagu tersebut sempurna. Kesimpulan dari riadah ini adalah, kami perlu bersatu padu dan bergabung kerana potongan lirik yang ada pada setiap kumpulan tidak akan dapat disempurnakan tanpa bergabung atau meminta bantuan dari kumpulan lain. Modul ini juga mengajar peserta untuk taat dan mendengar arahan yang diberikan oleh ketua, selain memastikan sirr dan hazar setiap kumpulan perlu dijaga dengan rapi.


Kuliah Maghrib

Disampaikan oleh Kak Jasmina, bertajuk Tafsir Surah Al Hujurat ayat 1-5. Kak Jas menggunakan buku yang digunakan ketika Ustaz Nik Zawawi menyampaikannya dalam Ijtima Tarbawi di Kundasang Sabah baru-baru ini. Buku ini ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan buku ini juga digunakan ketika Ijtima Tarbawi yang diadakan di Masjid Rusila Terengganu.


Slot 3

Slot diteruskan dengan kuliah dasar yang disampaikan oleh kak Syamsi yang bertajuk ADAB BERJEMAAH. Kak Syamsi menggunakan edaran risalah adab-adab dalam jemaah ketika menyampaikan kuliah ini. Antara isi penting yang dikongsikan adalah:

1. Wajib dengar dan taat selagi bukan perkara maksiat dan tidak kufur

2. Kita Wajib mentaati pemimpin

3. Kita wajib menasihati pemimpin dengan adab dan akhlak

4. Mengutamakan kesatuan dan membenci perpecahan

5. Tidak cepat melatah dan segera merujuk kepada pimpinan

6. Tidak menyebarkan sesuatu berita tanpa tabayyun terlebih dahulu

7. Mengutamakan husnuz-zon sesama jemaah dan mendatangkan bukti atau fakta atas sebarang tuduhan.


Slot 4

Slot ini dinamakan sebagai slot 'Sharing Moment'. Memerlukan peserta untuk berkongsi rasa dalam jemaah kepada semua sahabat yang ada. Malam itu, pimpinan DMPKS telah meluahkan beberapa perkara berupa teguran dan ia amat baik diambil sebagai teladan dan pengajaran kepada semua ahli gerakan DMPKS.




~Siti Salasiah Salamun~


No comments: